Friday, September 18, 2009

BENCI


Sudah menjadi lumrah sebagai manusia punya perasaan benci.. Malah Allah juga membenci mereka yang ingkar kepada-Nya. Sifat yang semulajadi ada pada manusia ini pasti ada hikmah di sebaliknya. Sebagai contoh, Allah memerintahkan manusia agar membenci perkara-perkara mungkar dan maksiat. Dengan adanya perasaan benci, maka terbitlah satu keazaman untuk menjauhi perkara-perkara tersebut.

Namun segala perkara kalau berlebih-lebihan pasti memudaratkan. Begitu juga dengan perasaan benci. Perasaan benci yang tidak berasas, melulu dan mengikut nafsu semata-mata, boleh memakan tuan empunya diri. Memang lah satu perkara biasa sekiranya kita diperlakukan secara tidak adil atau dipersendakan, perasaan benci akan timbul. Namun, harus kita selalu soalkan pada diri, berbaloikah aku berperasaan sebegini. Sedar tidak sedar kadang-kadang perasaan benci ini hanya membebankan perasaan dan fikiran. Malah lebih teruk lagi, perasaan benci yang meluap-luap dan bertukar menjadi dendam, mampu menjerumuskan diri kepada jenayah-jenayah serius seperti membunuh atau mencederakan mereka yang dibenci.

Semuanya berbalik kepada diri kita sendiri.. kita akan selalu punya pilihan untuk membenci atau tidak. Ada perkara yang langsung tidak berbaloi untuk kita bazirkan perasaan benci baginya. Elok dilupakan saja dan maafkan saja perbuatan mereka yang mungkin tidak berniat untuk memperlakukan anda sebegitu. Biasalah lumrah manusia punya pelbagai karakter dan sifat yang berbeza. Mustahil untuk kita mengharapkan orang-orang di sekeliling kita untuk memahami cara dan kehendak kita. Jadi selalulah bertoleransi dalam hal-hal kecil semoga kurang lah beban di dada menahan perasaan benci..takut-takut memudaratkan kesihatan di kemudian hari.

Sempena Aidilfitri kali ini, gunakan peluang yang ada sebaik mungkin untuk kita kurangkan perasaan benci dan gantikan ia dengan kemaafan dan perasaan cinta di hati. Semoga hari lebaran kali ini lebih ringan rasa beban di dada dan lapang fikiran untuk lebih rasa syukur kepada-Nya. Dikesempatan ini saya mengucapkan Salam Lebaran buat semua yang mengenali diri ini. Salam dihulur memohon maaf atas segala kesilapan dan keterlanjuran..Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Maaf Zahir Batin.

Pesanan dari hati: Kalau ada jarum yang patah, Jangan di simpan di dalam peti..