Friday, September 18, 2009

BENCI


Sudah menjadi lumrah sebagai manusia punya perasaan benci.. Malah Allah juga membenci mereka yang ingkar kepada-Nya. Sifat yang semulajadi ada pada manusia ini pasti ada hikmah di sebaliknya. Sebagai contoh, Allah memerintahkan manusia agar membenci perkara-perkara mungkar dan maksiat. Dengan adanya perasaan benci, maka terbitlah satu keazaman untuk menjauhi perkara-perkara tersebut.

Namun segala perkara kalau berlebih-lebihan pasti memudaratkan. Begitu juga dengan perasaan benci. Perasaan benci yang tidak berasas, melulu dan mengikut nafsu semata-mata, boleh memakan tuan empunya diri. Memang lah satu perkara biasa sekiranya kita diperlakukan secara tidak adil atau dipersendakan, perasaan benci akan timbul. Namun, harus kita selalu soalkan pada diri, berbaloikah aku berperasaan sebegini. Sedar tidak sedar kadang-kadang perasaan benci ini hanya membebankan perasaan dan fikiran. Malah lebih teruk lagi, perasaan benci yang meluap-luap dan bertukar menjadi dendam, mampu menjerumuskan diri kepada jenayah-jenayah serius seperti membunuh atau mencederakan mereka yang dibenci.

Semuanya berbalik kepada diri kita sendiri.. kita akan selalu punya pilihan untuk membenci atau tidak. Ada perkara yang langsung tidak berbaloi untuk kita bazirkan perasaan benci baginya. Elok dilupakan saja dan maafkan saja perbuatan mereka yang mungkin tidak berniat untuk memperlakukan anda sebegitu. Biasalah lumrah manusia punya pelbagai karakter dan sifat yang berbeza. Mustahil untuk kita mengharapkan orang-orang di sekeliling kita untuk memahami cara dan kehendak kita. Jadi selalulah bertoleransi dalam hal-hal kecil semoga kurang lah beban di dada menahan perasaan benci..takut-takut memudaratkan kesihatan di kemudian hari.

Sempena Aidilfitri kali ini, gunakan peluang yang ada sebaik mungkin untuk kita kurangkan perasaan benci dan gantikan ia dengan kemaafan dan perasaan cinta di hati. Semoga hari lebaran kali ini lebih ringan rasa beban di dada dan lapang fikiran untuk lebih rasa syukur kepada-Nya. Dikesempatan ini saya mengucapkan Salam Lebaran buat semua yang mengenali diri ini. Salam dihulur memohon maaf atas segala kesilapan dan keterlanjuran..Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Maaf Zahir Batin.

Pesanan dari hati: Kalau ada jarum yang patah, Jangan di simpan di dalam peti..

Friday, October 10, 2008

Eid Mubarak


Kalau dulu hari raya lah yang paling ditunggu-tunggu. Di hitung masa dan hari tibanya hari lebaran lagi. Seronok kerana dapat balik kampung, dapat baju baru, dapat duit raya, makan ketupat rendang dan macam2 lagi. Namun bila semakin bertambah usia semakin aku mengenali erti sebenar Aidilfitri. Sesungguhnya tiada erti Aidilfitri tanpa Ramadhan yang di rai. Ramadhan yang di manfaatkan dengan sepenuh penghayatan lah akan memberi lebih makna kepada Aidilfitri.

Betullah kata orang “Kalau tak puasa tak boleh raya”. Tapi Ramadhan bukan sekadar berpuasa. Menahan lapar dan dahaga. Ramadhan adalah lapangan yang di anugerahkan Allah untuk hambanya bermuhasabah dengan semaksimum mungkin. Dengan terkurungnya iblis dan syaitan, maka terpulang kepada nafsu sendiri untuk mengawal segala tingkah laku. Jika benar2 di hayati maka tidak mustahil lah untuk kita kembali kepada fitrah sebenar manusia yang bersih dan suci.

Jangan terlalu sempitkan tafsiran ibadah kepada solat dan membaca Quran saja. Islam adalah cara hidup. Maka apa saja yang dilakukan dalam hidup boleh di jadikan ibadah dan boleh di muhasabah. Dari cara bercakap dan berpakaian juga cara bekerja dan berbuat baik sesama insan. Segala2nya boleh di perbaiki dengan lebih baik sempena Ramadhan. Tapi tidaklah amalan2 ini hanya di amalkan dalam Ramadhan, cuma mungkin berkat Ramadhan akan membantu kita menjadi insan yang lebih baik. Sebagai contoh, kalau dulu ketika memandu kita suka menyumpah kenderaan lain di jalan raya, mungkin kita akan lebih bersabar. Walaupun tiada yang melihat, kita lebih peka yang Allah sentiasa ada memerhati.

Itulah sedikit sebanyak erti Ramadhan yang aku pelajari kali ini. Namun Ramadhan berlalu terlalu pantas. Bulan Rahmah Bulan Taubah..Pintu-pintu taubat yang luas terbuka dan rahmatNya yang melimpah ruah. Rindu sudah pun terasa sebaik perginya engkau Ya Ramadhan. Ketenangan yang cukup mendamaikan hati dan munajat padaNya terasa sungguh mengasyikkan..Ya Ramadhan. Bertemukah aku dengan mu lagi? Ya Allah Panjangkanlah umurku untukku tebus segala kelalaianku pada Ramadhan kali ini..

Aidilfitri datang..Takbir yang bergema mengingatkan betapa kerdilnya dan hinanya diri ini. Wahai Tuhan yang Maha Besar..Semoga pada Aidilfitri kali ini ku sambut penuh syukur dan kemenangan..Kemenangan hambamu kembali kepada fitrahnya yang suci. Yang tulus bersih umpama bayi yang baru dilahirkan. Moga Aidilfitri ini Kau ampunkan segala dosa-dosaku, suamiku, ibu bapaku, adik-beradik dan keluargaku juga saudara Muslim seluruhnya.

Ramadhan
Satu nasib tak serupa
Peluangnya sama
Natijah berbeza

Ramadhan mereka
Gemilang cemerlang
Mukmin berjasa
Di awal zaman

Ramadhan kami
Malang terbuang
Muslim berdosa
Di akhir zaman

Mereka gembira
Kerana kedatanganmu
Kami gembira
Dengan pemergiaanmu

Malam mereka meriah
Di simbah Nur Al-Quran
Tapi malam kami
Muram berkabung dengkur

Mereka berlumba mengejar makrifah
Tapi kami lesu di buru nafsu
Hati mereka bercahaya digilap taqwa
Jiwa kami gelap di dera dosa

Takbir mereka
Takbir kemenangan
Hadiah mujahadah sebulan Ramadhan
Takbir kami lesu tak bermaya
Tanda kalah lemah tak berdaya
Puasa sekadar lapar dan dahaga


Pesanan dari hati: Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir Batin. Jemput berkunjung ke rumah ;>